Assalamualaikum sahabat blogger dan pembaca budiman...
InsyaAllah sedikit masa lagi saya akan bergelar seorang ayah dan isteri saya pula akan menjadi seorang ibu... Pelbagai perasaan dirasa... berdebar-debar, takut, gembira, semuanya bercampur-baur... saya tahu isteri saya lebih-lebih lagilah takutnya... tapi insyaAllah, isteri saya kuat semangat, moga-moga Allah permudahkan urusan bersalinnya nanti, dan moga-moga Allah kurangkan bebanan sakitnya...
Semestinya, saya akan cuba sedaya mampu untuk bersamanya di bilik bersalin nanti. InsyaAllah.
Dalam menanti kelahiran cahaya mata ini, banyak sekali perkara yang perlu diketahui oleh saya... dengan beberapa rujukan yang saya sempat tatap, berikut ialah sedikit tips yang saya rasa elok untuk saya kongsi bersama:
PANDUAN MENYAMBUT KELAHIRAN BAYI
---------------------------------------------------------------
1. Suami Berada Di Samping Isteri Ketika Saat-Saat Isteri Hendak Bersalin.
Alangkah gelisah dan kritikalnya di saat akan melahirkan anak lebih-lebih lagi bagi ibu yang mengandungkan anak pertama. Suami perlu memberikan motivasi kepada isteri agar tetap sabar dan tabah, di samping suami harus banyak berdoa kepada Allah. Banyakkan beristighfar, berselawat dan membanyakkan bacaan surah Al-Hasyr (Surah ke-59) dan surah Al-Insyiqa’ (Surah ke-84).
Firman Allah Ta'ala dalam surah Luqman ayat 14:
2. Azan Di Telinga Kanan Dan Iqamah Di Telinga Kiri.
Suami hendaklah segera mengazankan di telinga kanan anak yang baru lahir dan diiqamahkan di telinga kirinya dengan tujuan supaya dijauhkan anak itu dari gangguan syaitan dan supaya kalimah pertama yang dapat didengar oleh si anak ialah kalimah Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rafi’ r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w. mengazankan Al-Hassan bin Ali pada telinganya, ketika itu ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
3. Membaca Surah Al-Qadar dan Surah Al-Ikhlas.
Suami hendaklah juga membanyakkan bacaan surah Al-Qadar (Inna anzalnahu fi lailatil qadr... hingga ke akhir ayat) di telinga kanan bayi dan surah Al-Ikhlas (Qul huwAllahu Ahad... hingga ke akhir ayat) di telinga kirinya bagi tujuan memohon kepada Allah supaya anak yang dilahirkan terhindar dari melakukan penzinaan dan memohon juga supaya diteguhkan keimanannya.
4. Membaca Surah Al-Insyirah Di Jari Manis Dan Ditahnikkan.
Suami juga hendaklah membaca surah Al-Insyirah (Alam nasyrah laka shodrok... hingga ke akhir ayat) di jari manis kemudian dicelupkan jari manis itu ke dalam manisan (madu) dan ditekankan (ditahnikkan) di langit-langit bayi dengan membaca ayat ke-36 dari surah Ali-Imran:
Tahnik adalah bertujuan untuk memohon kepada Allah s.w.t. supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya dari menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat. Walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut adalah lebih afdhal melakukan tahnik untuk anaknya. Ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi yang menyebutkan bahawa salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa kepada anaknya.
5. Melaksanakan Tuntutan Sempena Hari Ketujuh.
Memberikan nama yang baik.
Bapa dikehendaki menamakan anaknya dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kerana nama itu sendiri adalah merupakan doa kepada anaknya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, maka indahkanlah nama kamu”. (Riwayat Abu Daud)
Membaca doa ketika memberikan nama kepada anak.
Maksudnya: “Ya Allah wahai Tuhan kami, jadikanlah nama yang diberikan ini memberi keberkatan kepadanya, pandukan segala usahanya ke arah keredhaanMu, jadikan menuntut ilmu sebagai matlamatnya dan akhirkan hidupnya dengan amal-amal soleh. Ya Allah wahai tuhan kami, lanjutkanlah usianya dalam ketaatan kepadaMu dan kepada RasulMu dan jadikan tubuh badannya dalam keadaan sihat walafiat. Ya Allah, jadikan ia pemimpin di waktu dewasa, teguhkan imannya sepertimana iman para nabiMu sehingga hari kiamat. Ya Allah kurniakan ia rezeki yang halal dan berkat, dekatkanlah ia dengan kebaikan dan jauhkan ia daripada kejahatan dengan rahmatMu Ya Allah yang Maha Pengasih."
Mengaqiqahkan anak.
Bapa hendaklah mengaqiqahkan anaknya kerana hukumnya adalah sunat mu’akkad iaitu dengan mengadakan kenduri kesyukuran. Menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Sebaik-baiknya dilakukan pada hari ketujuh. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Setiap anak yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”. (Riwayat Abu Daud)
Disuruh juga menyebut nama anak ketika menyembelih aqiqah.
Maksudnya : “Dengan nama Allah, Ya Allah untukMu dan bagiMu akikah ini dari ___(Nama anak)___".
Gesaan Aqiqah:
Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
“Kerjakanlah aqiqah bagi anak lelaki yang baru lahir, kerana itu hendaklah kamu menyembelih aqiqah dan jauhkanlah gangguan dari anak itu”. (Muttafaqun 'alaih)
Antara hikmah aqiqah adalah:
~ Membiasakan berkorban bagi orang tua demi kepentingan bayi yang baru lahir di dunia.
~ Melindungi diri dari gangguan syaitan.
Bercukur rambut.
Adalah menjadi tanggungjawab bapa untuk mencukur rambut anaknya pada hari ke tujuh (dibotakkan) sama ada dilakukan olehnya sendiri atau orang lain.
Antara hikmah bercukur rambut adalah:
~ Hikmah kesihatan.
Dengan membuang dan mencukur rambut anak yang baru lahir maka terbukalah semua lubang rambutnya yang mungkin akan mengukuhkan pancaindera penglihatan, pernafasan dan pendengarannya.
~ Hikmah kemasyarakatan.
Dapat bersedekah dengan emas atau perak seberat timbangan rambutnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. ia berkata:
Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyuruh supaya dicukur rambut cucunya Saidina Hassan dan Hussin r.a. pada hari ketujuh dan disedekahkan berat timbangan rambutnya dengan nilai perak”. (Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud)
Khurafat yang perlu ditinggalkan.
Mencukur bahagian-bahagian tertentu daripada kepala sebagaimana yang banyak dilakukan sekarang, kerana ini termasuk dalam perkara yang dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam dan bunga kerana amalan ini diambil dari budaya Hindu. Rasulullah bersabda:
“Barangsiapa yang menyerupai (meniru apa sahaja perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam) dengan sesuatu kaum (yang bukan Islam) maka ia tergolong daripada mereka”.
Mengkhatankan anak.
Bapa bertanggungjawab untuk mengkhatankan anak lelakinya. Dalam sebuah hadis disebutkan. Maksudnya:
“Berkhatan itu sunat bagi lelaki, mulia bagi wanita”. (Riwayat Abu Daud)
Walaupun demikian, amalan masyarakat kita mengkhatankan anak pada umur sebelas tahun atau dua belas tahun tidaklah menyalahi syarak. Adalah menjadi suatu yang baik sekiranya anak-anak berkhatan terlebih dahulu sebelum diaturkan majlis khatam Quran untuknya.
Antara faedah berkhatan adalah:
~ Terlindung dari pelbagai penyakit.
~ Membersihkan diri dari kekotoran.
6. Menyusukan Anak.
Demi kesihatan anak, ibu hendaklah menyusukan anaknya dengan susu ibu. Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 233:
Imam As-Syafie berkata:
“Sihat atau tidak anak itu adalah bergantung sama ada anak itu disusui oleh susu ibu atau tidak, walaupun sekali susuan”.
Ganjaran menyusukan anak:
~ Setiap tegukan dari susu ibu, Allah s.w.t. memberikan pahala satu kebaikan.
~ Bila ibunya semalaman tidak dapat tidur kerana menjaga anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba di jalan Allah.
~~~
Wallahu A'lam. Semoga yang baik dapat diambil hikmahnya, yang tidak betul tegur-tegurlah.






